BACA DULU NI sebelum baca yang lain

[AMARAN]

Kalau anda seorang yang sukar untuk terima pandangan orang lain, dilarang sama sekali membaca blog ini. Mengapa? Karya-karya dalam blog ini mungkin bagi anda bersifat provokatif, belagak poyo, suka mengada-ngada.. atau mungkin tidak matang.. Well.. saya cuma budak kecik yang baru belajar menggunakan blog. Sebelum ni hidup di atas laut yang jauh dari internet. So, Mumayyiz dalam menulis. Tapi kalau masih berkeras nak baca.. baca je lah! Tapi please baca dengan rasa cinta dan toleransi dalam diri. Sentap atau tersinggung perasaan.. tanggung sendiri. Anda telah diberi amaran tentang risiko yang mungkin anda akan hadapi. Tu laaa ketegaq sangat.


"Sila ambil dan viralkan mana-mana karya di dalam blog ini yang anda rasakan ada jugalah gunanya(walaupun banyak yang tidak berguna) tanpa perlu meminta izin daripada saya. Semuanya daripada Allah juga. Tapi menarik juga sekiranya anda dapat meninggalkan link di manakah tercampaknya karya saya yang marhaen itu - atleast boleh bantu saya popular.. ngeh ngeh ngeh... Yalah, apa salahnya mahu menjejaki kasih karya yang sudah ditulis, di samping menambah kenalan baru bukan..? Senyum sambil membuat tanda aman." : ayat Inche Gabbana..


Kita punya cerita yang tersisa di hati

Bisikan kata yang enggan dilupakan.

Mungkin sekarang masih segar.

Cuma kelak waktu mereputkan minda.

Lantas kisah ini hanya menjadi alunan kenangan yang bisu.


DISKLEMER - Semua pandangan sendiri sahaja.

Tidak matang mungkin.

Cuma ini yang berkisar di minda.

Dan aku tidak ingin melupakan.

Mungkin anda punya cerita lain. Ini cerita aku.

Maaf jika ada yang tidak senang hati.

Berombak dada membacanya.

Tapi ini cerita aku. Berkenan? Silakan baca.

Tidak? Dijemput untuk tekan butang keluar.

August 17, 2015

[CERPEN] Hati Bukan Tisu : Episode 2

....sambungan...


Petai. Selepas ini Afwan taubat akan memakannya semula! Beberapa kali dia cuba memaksa dirinya menelan tumbuhan tersebut. Belum lama selepas itu, mereka dipaksa untuk mencalitkan muka dengan kunyit. Afwan kemilih untuk memenuhkan ruang mukanya dengan kunyit tersebut. Lagaknya seperti memakai bedak sejuk. Bagi Afwan, setiap apa yang berlaku dalam hidup sehari-hari adalah pengalaman yang tidak mungkin akan terulang. Nikmatilah selagi mampu. Dek kerana itulah, Afwan cuba memujuk diri agar menikmati setiap detik bersama kenalan-kenalan baru dan lamanya itu.
Kumpulan mereka merupakan kumpulan ketiga terakhir tiba di stesen terakhir. Tatkala kumpulan lain sudah bersedia untuk menyiapkan tugasan terakhir, mereka baru terkedek-kedek mengumpulkan bahan yang diperlukan untuk tugasan tersebut. Paip PVC dan sebiji bola ping pong.
"Jangan buang kunyit di muka kamu! Aktiviti tak habis lagi. Kamu hanya rehat minum!" tempik Abang Samad, ketua aktiviti petang itu. Afwan yang ketika itu sedang beratur untuk membasuh muka terpaksa berpatah balik. Niatnya terpaksa dibatalkan walau ketika itu kulit mukanya sudah mula terasa sakit kerana sebatian kunyit dimukanya sudah kering.
"Muka rasa peritlah...." Bella mengomel sambil mencabut-cubit keping kunyit di mukanya.
"Boleh ke cabut macam tu je? Tak kena marah ke?" Fatin pula mencela.
"Entah! Saya cabut je." jawab Bella. Afwan hanya memerhatikan gelagat rakan sekumpulannya itu. Bella walaupun berumur 22 tahun dan berbadan agak montel, tetapi suaranya kedengaran seperti suara kanak-kanak berumur 12 tahun. Nyaring dan comel! Sedangkan Fatin pula di mata Afwan sebagai perempuan cantik yang cukup sifatnya. Fatin memiliki senyuman yang menawan, anak mata yang agak galak. Sesiapa yang melihat senyumannya pasti tergoda. Afwan suka melihat Fatin. Walaupun Afwan dan Fatin berada dalam tahun pengajian yang sama, namun Afwan baru sahaja mengenalinya dalam kem ini.
"Mana kunyit kat muka korang berdua ni?"sergah Kak Zana sambil mencekakkan pinggangnya. Di tangan kanannya baldi putih dicengkam kejap. Afwan tahu apa isi baldi tersebut. Cecair kunyit yang sebelum ini dicalitkan di muka mereka.
"Alaaa Kak Zana. Gatal.. takut muka kami rosak.." ujar Bella sambil tersengih. Ulahnya kelihatan lucu dan masih comel. Bella memang comel do mata Afwan.
"Tak de, Tak de.. pakai balik!" Kak Zana menghulurkan baldi putih yang berisi cecair kunyit tu. Kak Zana sengaja membuntangkan matanya. Sengaja menzahirkan sifat singa betina di dalam dirinya agar FSSB-FSSB menurut kata-katanya. Tetapi Afwan tahu bahawa Kak Zana sebenarnya antara staf universiti yang mesra pelajar. Cuma dalam kursus ini sahaja dia terpaksa melakonkan watak garang.
"Afwan! Calit semula muka awak tu. Dah kering!" baldi putih beralih arah.
" Saya tak tanggalkan pun Kak Zana.. tak acilah.. dia yang tertanggal sendiri." Afwan cuba memprotes. Dia yang dari tadi galak menggelakkan Bella dan Fatin rupa-rupanya turut terkena.
"Pakai je lah! Dah nasib awak"
Perlahan-lahan Afwan mencalitkan mukannya semula dengan kunyit. Padahal, kunyit di kulitnya dah mula tertanggal dan kering. Apabila kering, kunyit-kunyit tersebut akan terasa gatal. Hal itu yang menyebabkan mereka ingin segera membuang kunyit-kunit tersebut dari muka masing-masing. Dari kejauhan, Afwan melihat Zakir sedang bergelar ketawa bersama rakan sekumpulannya. Malik pula duduk memeluk lutut di atas bangku.
Afwan sendiri tidak tahu ketika itu dah pukul berapa. Matahari kelihatan masih gagah bercahaya di langit. Namun sudah mula condong 45 darjah dari ubun-ubun kepala ke arah barat. Dalam perkiraan Afwan, sebentar lagi pasti azan Asar bakal berkumandang. Tetapi mereka sedang berada di dalam hutan, sudah pasti azan tersebut tidak akan kedengaran. Afwan melepaskan nafas keluhan.
"Dalam kiraan 10, saya nak semua masuk dalam barisan kumpulan masing-masing!" tempik Abang Samad tiba-tiba sehingga menyebabkan Afwan  yang sedang meminum teh panasnya tersedak. Dengan kelam-kabut, semua FSSB beratur dalam barisan mengikut kumpulan masing-masing. Afwan, Zakir dan Fikri tidak terkecuali.
Apabila semua FSSB telah berkumpul, Abang Samad memulakan taklimat aktiviti di stesen terakhir tersebut.
"Nampak kan tiang bendera di hadapan dewan utama tu?" ujar Abang Samad sambil menunjukkan jarinya ke arah tiang bendera yang dimaksudkan. Semua peserta menoleh ke belakang lalu dengan serentak mereka menjawab ya.
"Saya nak kamu bawa bola-bola ping pong yang kamu ada ke dalam baldi yang di letakkan di hadapan tiang bendera tersebut. Kamu tidak boleh menyentuh bola ping pong tersebut. Jadi bagaimana caranya kamu nak lakukan?" Abang Samad menelan liur sebelum meneruskan taklimatnnya. Mungkin untuk membasahkan tekaknya sedikit.
"Gunakan kerjasama setiap kumpulan. Buat satu jambatan panjang menggunakan paip PVC yang dibekalkan dan biarkan bola-bola ping pong tersebut melalui paip PVC tersebut. Faham?"
"Kalau bola ping pong tu jatuh, macam mana?"tanya Afiq yang kebetulan penghulu kem kali ini.
"Kalau jatuh, ulang dari mula! Ingat! Kamu tidak boleh menyentuh bola ping pong tersebut. Kamu juga tidak boleh melepaskan paip pvc itu. Setiap orang wajib memegang paip PVC. Kalau ada sesiapa yang melanggar peraturan, semua akan di denda. Penghulu dan Ketua-Ketua Kumpulan datang depan." Afiq selaku Penghulu dan Hairul selaku Ketua Kumpulan 8 tampil ke hadapan bersama ketua-ketua kumpulan yang lain.
"Kamu dilarang bersuara. Setiap arahan hanya akan dikeluarkan oleh Penghulu dan Ketua Kumpulan". Pada hemat Afwan, aktiviti kali ini tidak jauh berbeza dengan aktiviti kem FSSB yang lepas. Hanya instrumen untuk memindahkan bola ping pong sahaja yang berubah. Jika dahulu, mereka menggunakan 3 batang straw dan 2 batang lidi, tapi kini mereka hanya menggunakan sebatang paip PVC yang sebesar lengan Afwan. Namun, konsep permainan masih sama. Keadaan kali ini pasti lebih sukar kerana mereka akan bersesak-sesak menyentuh paip tersebut. Nampaknya, ikhtilat semakin sukar dijaga dalam edisi kali ini.
Afwan mula merasakan aktiviti ini membosankan apabila bola ping pong acap kali terjatuh, dan acap kali itu juga mereka diarahkan untuk baring di atas tanah dalam lebih kurang 10-20 saat. Aktiviti ini pada dasarnya seronok, tetapi mungkin disebabkan oleh pengulangan konsep dan juga kulit muka yang terasa perih akibat calitan kunyit yang sudah mula mengering. Saat itu, Afwan sudah mula terlupa kegusaran hatinya kepada tindakan Fikri tengah hari tadi. Mindanya terfokus untuk mematuhi peraturan permainan tersebut dan juga menjaga batas-batasnya bersama rakan berbeza jantina. Afwan tidak kisah jika terpaksa bertindih-tindih dengan rakan lelaki tetapi masih mampu menjaga batas aurat sesama wanita. Gara-gara terlalu mematuhi peraturan, Afwan bahkan sama sekali tidak berani untuk melepaskan cengkaman tangannya dari paip PVC.
"Kamu kena bergerak pantas, kalau kamu lambat, lambat jugalah kamu makan! Penghulu macam mana kamu atur budak-budak kamu ni? Dah lebih sejam kamu buat ni. Separuh pun tak sampai" sekali lagi kedengaran suara Abang Samad memprovok Afiq. Jelas di raut wajah Afiq bait-bait tekanan akibat provokasi tersebut. Sebenarnya bukan sahaja Afiq yang merasakan hal tersebut, hampir semua peserta turut mengalami apa yang Afiq alami. Tertekan, panas, pening dan ingin menyiapkan aktiviti itu secepatnya.
Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Jarak titik permulaan ke tiang bendera lebih kurang 300 meter sahaja. Dalam perkiraan Afwan, mereka sudah berjaya menyiapkan separuh daripada jarak yang diperlukan. Fikri di sebelah kanannya hanya mendiamkan diri. Akur dengan peraturan aktiviti.
Afwan merasakan kulit mukanya terasa gatal akibat  cairan kunyit yang dah mula lekang di mukanya. Dengan sedaya-upaya, Afwan cuba menguis-nguiskan mukanya ke lengannya agar lekang kunyit tersebut tertanggal. Tetapi dia gagal kerana pergerakannya terbatas kerana terhalang oleh bahu Fikri yang berada di sebelah kanannya. Berkali Afwan cuba meletakkan dahinya ke lengannya sendiri, tiap kali itu juga dahinya tersentuh bahu kiri Fikri. Fikri yang menyedari hal itu segera berpaling menghadap Afwan.
"Mari aku tolong kau" ujar Fikri lalu melepaskan pegangannya di paip PVC

No comments:

Post a Comment